Itali Fasis (1922–1945) Sejarah_Itali

Rencana–rencana utama: Fasisme Itali dan Itali dalam Perang Dunia Kedua
Benito Mussolini.

Pergolakan yang menyusuli kemusnahan Perang Dunia Pertama dan dibangkitkan oleh Revolusi Rusia menyebabkan Itali dalam keadaan porak-peranda dan anarki. Pentadbiran liberal yang bimbang akan revolusi sosialis di negara mulai menyokong Parti Fasis Negara, sebuah parti kecil yang dipimpin oleh Benito Mussolini. Pada Oktober 1922, parti fasis itu cuba merampas kuasa (Marcia su Roma, "Perarakan di Rom") dengan sokongan Raja Vittorio Emanuele III. Pada tahun-tahun berikutnya, Mussolini membentuk pemerintahan diktator dengan melarang semua parti politik lain sambil menindas kebebasan peribadi. Pada tahun 1935, tindakan Mussolini menyerang Habsyah, menyebabkan Itali dipulaukan oleh masyarakat dunia dan terpaksa menarik diri dari Liga Bangsa-Bangsa. Akibatnya, Itali berpakat dengan Jerman Nazi dan Empayar Jepun, serta menyokong kuat Franco dalam Perang Saudara Sepanyol. Pada tahun 1939, Itali menduduki Albania, sebuah negeri naungan de facto selama puluhan tahun, lalu terjebak dalam Perang Dunia Kedua di sisi kuasa Paksi pada tahun 1940. Oleh sebab mendahagakan kemenangan segera seperti Blitzkrieg yang dijayakan oleh Hitler di Poland dan Perancis, kerajaan Mussolini menyerang Greece pada Oktober 1940, tetapi terpaksa akur kepada kebuntuan yang mengaibkan berbulan-bulan kemudian. Pada tahun yang sama, Itali yang awalnya menawan Somalia British dan sebahagian Mesir menerima serangan balas pihak Berikat yang menyebabkan Itali hilang semua taklukannya di Tanduk Afrika dan Afrika Utara.

Kemudian, Itali diserang oleh pihak Berikat pada Julai 1943, menyebabkan rejim Fasis dan Mussolini akhirnya tumbang, dan Itali terpaksa menyerah kalah dua bulan kemudian. Negara ini masih menjadi medan pertempuran hingga akhir perang, kerana pihak Berikat berarak dari selatan ke utara yang menjadi pangkalan angkatan-angkatan yang taat kepada puak fasis Itali dan Nazi Jerman yang juga ditentang oleh gerakan penentangan Itali. Pada 2 Mei 1945, berakhirnya sebuah pertelagahan yang berpanjangan dan menelan hampir separuh juta orang Itali (termasuk orang awam),[19] dan membinasakan seluruh ekonomi Itali; pendapatan per kapita pada tahun 1944 berada di takat terendahnya sejak awal abad ke-20.[20]